Friday, March 25, 2011

KEUPAYAANNYA DIRAGUI???

DATUK Lee Chong Wei mungkin harapan terbaik bagi menamatkan kemarau pingat emas di Sukan Olimpik 2012 tapi pengkritik sukan tanah air, Tan Sri Dr Prof Emeritus Khoo Kay Kim tetap meragui keupayaan jaguh perseorangan badminton negara itu pada temasya yang berlangsung di London itu.

Bagi beliau, walaupun Chong Wei dianggap banyak pihak sebagai pemain terbaik negara pernah dilahirkan ketika ini, aksi kurang konsisten pemain berasal dari Pulau Pinang itu pada saingan antarabangsa mencetuskan kerisauan sekali gus mungkin tidak dapat memenuhi harapan menggunung rakyat Malaysia yang mengharapkan sebutir pingat emas daripadanya.

Bukan memperkecilkan kemampuan pemain perseorangan nombor satu dunia itu, sebaliknya Kay Kim berasa Chong Wei belum mencapai tahap seperti legenda badminton negara, Wong Peng Soon mahupun Eddy Choong yang sentiasa konsisten dan meraih banyak kejayaan semasa zaman kegemilangan mereka.

Begitupun, beliau mengakui kontinjen negara tiada pilihan lain selain mengharapkan Chong Wei untuk merangkul pingat emas berbanding tiga sandaran utama lain iaitu Mohd Azizulhasni Awang (basikal), Pandelela Rinong (terjun) dan pasangan beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

“Saya akui badminton saja ada peluang meraih pingat emas.

“Bagaimanapun, sama ada Chong Wei mampu atau tak (memenangi pingat emas), saya tidak mempunyai jawapan.

“Cuma yang saya lihat prestasi Chong Wei sentiasa terumbang-ambing. Kadangkala tiba-tiba saja boleh kalah, kadangkala menang.

“Contohnya, kalau hari ini boleh menang dengan Lin Dan, esok tiba-tiba saja prestasinya berubah dengan kalah kepada lawan lain seperti Taufik Hidayat. Wataknya tidak sama seperti Peng Soon atau Eddy,” katanya.





Ditanya peluang skuad negara meraih pingat emas pertama pada Sukan Olimpik selepas beliau berpendapat sebegitu, Kay Kim sekadar berkata: “Susah tapi tak mustahil.” Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi sebelum ini menyatakan peluang terbaik negara memenangi pingat emas di temasya sukan terbesar dunia itu adalah melalui Chong Wei selain menganggap peluang Mohd Azizulhasni mungkin sedikit sukar kerana dibayangi pelumba tuan rumah, Chris Hoy.

Mengulas keupayaan jaguh lumba basikal negara itu, Kay Kim senada dengan Kok Chi namun menegaskan, andai Mohd Azizulhasni menampilkan semangat luar biasa seperti ketika ditimpa kemalangan pada siri Kejohanan Piala Dunia di Manchester, Februari lalu, tidak mustahil dia mampu melakar sejarah.

“Dia sangat luar biasa. Kalau boleh semangat itu juga dipamerkan ketika beraksi di Sukan Olimpik,” katanya.

No comments:

Post a Comment