Tuesday, April 12, 2011

HAMBA MENJADI TUAN DAN TERBINANYA BANYAK BANGUNAN YANG MENCAKAR LANGIT

Ertinya:
Daripada Umar bin al-Khattab r.a. (dalam sebuah hadis yang panjang), …………kemudian Jibrail bertanya kepada RasululIah saw., "Maka khabarkan kepada ku tentang hari qiamat?". Lalu Nabi saw. menjawab, "Orang yang ditanya tiada lebih mengetahui daripada orang yang bertanya”. Maka Jibrail lalu berkata, "Kalau begitu cuba khabarkan kepada ku tanda-tandanya", maka Nabi saw. menjawab, "Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya mengembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan".
H.R. Muslim

Keterangan
Di antara tanda qiamat ialah, bila hamba melahirkan tuannya. Maksudnya akan banyak bilangan hamba yang kemudiannya akan digauli oleh tuannya dan melahirkan anak. Maka anak ini adalah berpangkat ayahnya, iaitu sebagai tuan kepada ibunya sendiri. Ada juga sebahagian yang memberikan pandangan, bahawa contoh ini alalah merupakan simbolik kepada suasana yang sudah terbalik, di mana hamba menguasai tuan, bukan sebaliknya. Jadi pemikiran manusia sudah terbalik, di mana yang baik dikatakan jahat dan yang sebenarnya jahat dikatakan baik.

Tanda kedua pula bilamana orang yang tidak berkasut, orang miskin yang semestinya ia mendahulukan membeli kasut dari yang lain, tiba-tiba ia telah mendirikan bangunan yang tinggi yang tentunya terpaksa berhutang daripada orang lain. Ada pula yang mentafsirkan bahawa yang dimaksudkan adalah orang yang miskin pada akhir zaman akan menjadi kaya dengan mengejut sehingga yang pada waktu kelmarin masih sahaja tidak berkasut , tiba-tiba pada hari ini ia sudah dapat membuat bangunan yang indah-indah dan sangat mewah.

Monday, April 4, 2011

CIKGU AMBIL NYAWA

ZIARAH..guru serta rakan kenalan keluarga mengusung jenazah Saiful di Masjid Ar-Rahman di Jejawi Dalam,Kangar,petang semalam

KANGAR: Hanya kerana wang RM7, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, murid tahun satu sebuah sekolah agama persendirian di Arau, dekat sini, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, pagi semalam, selepas koma sejak tiga hari lalu akibat parah dibelasah gurunya.

Difahamkan, mangsa dipukul dengan teruk kerana didakwa mencuri wang milik rakan sekelasnya.
Mangsa yang sudah kematian ibu, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8 pagi selepas mengalami pendarahan dalaman di kepala dan komplikasi jantung berikutan kejadian di bilik asrama sekolah agama berkenaan, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, ketika mengesahkan perkara itu berkata, murid terbabit disahkan meninggal dunia dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

“Kita akan menjalankan siasatan menyeluruh kejadian itu, apatah lagi ia menjadi bertambah serius kerana membabitkan kematian. Semua pihak berkaitan di sekolah agama itu akan dipanggil untuk siasatan.

“Perintah reman terhadap suspek berusia 26 tahun yang juga guru mangsa yang berakhir esok (hari ini), akan disambung untuk tujuan siasatan,” katanya enggan mengulas lanjut kes itu.

Metro Ahad semalam melaporkan Saiful Syazani dibelasah dengan kejam oleh gurunya yang juga warden asrama dalam keadaan kedua-dua tangannya terikat pada tingkap asrama sehingga menyebabkan mangsa koma dalam kejadian pada kira-kira jam 7 malam, Khamis lalu.
Mangsa dikatakan berjaya membuka ikatan tangannya untuk melarikan diri sehingga menimbulkan kemarahan guru terbabit yang kemudian memukulnya tanpa belas kasihan.

Selepas memukul kepala, suspek dikatakan `naik hantu' dan menggoncang badan mangsa serta menolaknya dengan kuat ke dinding yang dipercayai punca utama murid itu mengalami pendarahan dalam kepala dan komplikasi jantung.

Suspek yang mungkin menyedari kesalahannya dan menyesal dikatakan sempat bersolat hajat sejurus dimaklumkan doktor bahawa mangsa dalam keadaan kritikal sebelum bergegas ke Alor Setar dengan menaiki motosikal untuk melihat keadaan murid terbabit.

Guru terbabit menyerah diri di Balai Polis Arau, Jumaat lalu, selepas bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, pada jam 8 malam hari kejadian.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat, ketika dihubungi berkata, pihaknya menyerahkan kes itu kepada pihak polis kerana sekolah itu milik persendirian dan bukannya di bawah seliaan jabatan berkenaan.

“Kita tidak mahu campur tangan dalam kes ini dan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.

“Kami amat sedih dan dukacita di atas kejadian ini dan jika benar perbuatan guru memukul hingga menyebabkan kematian muridnya, ia di luar bidang kuasa guru dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, pengetua sekolah agama terbabit, Yaakub Abu Soman berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang ulasan berhubung kejadian itu yang membabitkan guru dan murid sekolahnya atas arahan polis.

“Kami akan mengadakan sidang akhbar selepas tempoh reman terhadap suspek tamat nanti,” katanya.

Bapa mangsa, Saiful Sopfidee berkata, jenazah anak tunggalnya hasil perkongsian hidup dengan arwah isterinya, Jahiyah Che Amat, dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Paduka di sini, petang semalam. Dia juga berharap guru terbabit dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang kerana perbuatannya yang tidak berperikemanusiaan itu.

Siasat Dulu Kesahihan Berita - Mufti Senada



Dalam menghadapi keadaan politik yang mengeksploitasi isu peribadi, seperti isu video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, umat Islam dinasihatkan menyiasat dahulu kesahihan dakwaan itu.

Perkara itu disepakati beberapa mufti negara ini, termasuklah Dr Juanda Jaya (Perlis), Datuk Tamyes Abd Wahid (Selangor) dan Datuk Mohammad Shukri Mohammad (Kelantan).

Menurut Dr Juanda, Allah berfirman dalam surah al-Hujurat, apabila datang berita daripada orang fasik, perkara itu hendaklah diselidiki terlebih dahulu.

“Dan kalau tidak cukup empat orang saksi, sepatutnya penuduh dikenakan hukuman Qazaf. Hukum orang fasik ini, dia tak layak lagi jadi saksi untuk sebarang kes kerana sudah hilang kredibeliti.”

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Juanda (kanan) berpendapat isu melibatkan keaiban peribadi tidak boleh dijadikan modal politik, apatah lagi jika perkara berkaitan seks yang amat memalukan.

“(Kalau betul pun), kita tak tahu, mungkin dia sudah bertaubat. Kenapa perlu dedahkan perkara itu? Siapa tak ada aib di masa lalu?” soal Dr Juanda lagi.

Katanya, rakaman video sahaja tidak mencukupi jika tidak disokong oleh empat saksi yang adil kerana kesalahan zina amat berat dan hukuman yang dijatuhkan hendaklah bebas daripada sebarang prasangka.

“Kalau ada (hanya) tiga orang saksi yang melihat perkara itu, lebih elok mereka tutup mulut sahaja daripada mendedahkannya. Kesan tindakan itu melibatkan banyak pihak, termasuk anggota keluarga yang terlibat,” katanya.

‘Jangan terpalit, terikut-ikut’

Semalam, ulama terkenal Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, para mufti wajar menyatakan pendirian berhubung isu “politik selak kain” susulan tayangan video kontroversi minggu lalu.

Sementara itu, Tamyes (kiri) pula menyifatkan apa yang berlaku sekarang ini berjalan secara tidak betul.

“Untuk menuduh, mestilah mendatangkan bukti, iaitu empat saksi untuk mensabitkan kesalahan. Jika tidak, pihak itu boleh dikenakan hukum Qazaf.

“Hukum ini tidak pernah berubah dari dulu sampai sekarang. Kepada yang dituduh, boleh bersumpah untuk menafikan apa yang dituduh. Tetapi sekarang, yang menuduh bersumpah, yang dituduh diminta mencari bukti. Ini terbalik dan tidak betul,” katanya.

Tamyes juga menasihatkan orang awam yang tidak tahu menahu tidak masuk campur, walaupun sekadar bersembang-sembang mengenaninya di kedai kopi.

“Biarlah diselesaikan oleh pihak yang berkenaan. Janganlah terpalit sama, terikut-ikut buat tuduhan,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas berhubung gejala “politik selak kain” yang dibangkitkan Dr Mohd Asri sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya minta kembalilah ke jalan Allah. Sekiranya tidak ada asas sesuatu tuduhan itu, eloklah kita sorot kembali (kesasihan dakwaan itu),” katanya.

Kod etika dalam Islam

Sementara itu, Mufti Kelantan Datuk Mohammad Shukri Mohammad pula berkata, Islam menetapkan kod etika untuk pelbagai pihak, sama ada ada penuduh atau orang awam dalam menghadapi isu pendedahan aib orang.

Katanya, pendedahan perkara buruk melibatkan orang lain boleh dibuat bagi tujuan pengadilan dan penghakiman sahaja dan tidak boleh didedahkan secara terbuka.

“Kalau dengan niat hendak aibkan orang memang dilarang. Kalau dengan tujuan mencari kebenaran atau mendapat pengadilan yang adil, perlulah dedahkan.

“Tetapi cara mendedahkannya biasanya dedah pada qadi, hakim atau mufti, tidak kepada orang awam,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagi orang awam pula, Mohammad Shukri sependapat dengan Dr Juanda bahawa sesuatu berita yang disampaikan mestilah diselidik dahulu dan tidak terus menerimanya bulat-bulat.

“Jabatan mufti sepatunya jadi sumber rujukan. kalau pihak berkenaan rujuk dulu, barangkali ada cara lebih sopan untuk nyatakan kebenaran dan mendapatkan pengadilan.

“Sebabnya menonton video lucah, undang-undang negara pun tak boleh,” katanya.

Sosok, Lenggok Ternyata Bukan Anwar - Nik Nazmi

www.anwaribrahim.com


DATO'SERI ANWAR IBRAHIM


Dari KeadilanDaily (04 /04/2011)

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, berdasarkan video palsu yang dimuat turun di laman web You Tube, jelas individu di dalam rakaman berkenaan bukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selepas menonton video tersebut, kenyataan awal saya terbukti benar memandangkan sosok dan lenggok badan watak utama, termasuk perut yang menonjol jelas sekali bukan sosok badan Anwar.

“Hakikat ini mungkin tidak jelas bagi mereka yang tidak mengenali Anwar secara dekat, tetapi sebagai bekas Setiausaha Sulit beliau selama dua tahun saya tahu bahawa itu bukan Anwar,”

“Apatah lagi saya mengenali keperibadiannya sebagai seorang Muslim dan pemimpin keluarga yang baik,” jelas beliau dalam satu respon segera yang dihantar kepada Keadilandaily petang ini.

Beliau mengulas tindakan Umno, melalui blogger mereka yang memuat turun rakaman tersebut di laman You Tube hari ini.

Menurut Nik Nazmi, jelas sekali tayang video berkenaan kepada umum bermotifkan politik ketika Pilihan Raya Negeri sedang rancak di Sarawak.

Justeru itu beliau mengemukakan enam persoalan asas yang masih belum terjawab berhubung video fitnah tersebut:

1. Mengapa Rahim Tamby Chik, Shazril Eskay dan Shuib Lazim tidak berani mendedahkan diri mereka ketika mula-mula menayangkan video kepada editor-editor kanan milik Barisan Nasional di Carcosa?

2. Siapakah individu ketiga dalam video tersebut? Kehadiran lelaki ketiga yang bertindak seperti pengarah video menggambarkan ini bukan rakaman CCTV rahsia sebagaimana didakwa Dato’ T.

3. Adakah mereka tidak yakin dengan kewibawaan moral mereka sendiri ataupun khuatir bahawa rakyat akan menyimpulkan video ini satu lagi usaha UMNO-Barisan Nasional untuk menyerang Anwar memandangkan
ketiga-tiga mereka mempunyai hubungan dengan UMNO khususnya Tun Dr. Mahathir Mohammad dan Datuk Seri Najib Tun Razak?

4. Dato’ T mendakwa video ini dirakam di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Namun tulisan di dalam video tersebut (di dalam bahasa Thai) apabila diterjemah menyebut “Phaholyothin Road Bangkok, Thailand 10400, Copyright 2011”. Adakah video ini sebenarnya video lucah Thai yang tiada kaitan dengan Malaysia?

5. Mengapa UMNO diam membisu tentang pandangan tiga mufti: Dr Juanda Jaya (Perlis), Datuk Tamyes Abd Wahid (Selangor) dan Datuk Mohammad Shukri Mohammad (Kelantan) yang meminta umat Islam mengesahkan dulu sebarang maklumat yang datang daripada pihak yang fasik? Malah, Tan Sri Harussani Zakaria (Perak) juga mengeluarkan pandangan serupa tetapi menurutnya tidak dilaporkan Utusan Malaysia.

6. Mengapa pihak polis yang tegas memberi amaran kepada orang ramai jangan mengedar video Chua Soi Lek dahulu (yang diakui Soi Lek sendiri benar) tidak mengambil pendekatan sama kali ini?

Sehubungan itu, Nik Nazmi menyeru rakyat Malaysia supaya tidak termakan dengan politik fitnah, kotor dan keji yang dibawa Umno- Barisan Nasional.

“Pada awal tahun ini rakyat menaruh harapan terbitnya Buku Jingga Pakatan Rakyat akan memulakan budaya baru politik mengenai idea dan polisi yang menandakan kematangan masyarakat negara kita.

“Malangnya bukan sahaja Najib menolak berbahas mengenai buku jingga, tetapi dalam keadaan beliau terdesak kini nampaknya membiarkan budaya politik busuk terus bermaharajalela. Ketika arus demokrasi berkembang pesat di seluruh dunia, politik Malaysia nampaknya masih lagi pada takat yang lama,” ujar beliau.